19.4.24

Oh Baju Melayu

Rasanya masih belum terlambat untuk aku ucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada semua. Maaf Zahir dan batin. Bak kata senario,  Selagi syawal masih ada. Kan?

Saja nak Kongsi pakaian raya aku pada hari pertama dan kedua raya. Hari pertama, aku pakai jubah. Semua 1 set termasuk kain rida’ dan kopiah aku beli kat Madinah masa kerjakan umrah tahun lepas.

Pada raya kedua pula, aku pakai set baju dan seluar kurta. Aku beli di tiktok shop. Hehehe.. kalau ada siapa yang ikuti tiktoker Azrul Affandi Sobry “tak gitu”, mesti korang akan terbiasa Nampak baju kurta yang dijual beliau.

Persoalannya, kenapa aku tak berbaju melayu bersamping dan bersongkok pada hari raya?

Boikot baju melayu slim fit

Sebab baju melayu yang terjual sekarang ni, kebanyakannya (tak semua) adalah scam! Sebab apa scam? Sebab nama saja baju melayu tapi tak menepati syarat baju melayu! Hahaha..

Antara syarat yang patut ada pada sebuah busana yang menjadikannya sebagai “baju melayu” adalah dengan berpesak dan berkekek. Tapi cuba tengok kebanyakan baju melayu yang dijual sekarang, kebanyakannya slim fit! Tak berpesak dan berkekek.

Ini namanya mencarik adat! Hahaha..

Azam aku, untuk baju raya tahun depan, aku akan cuba cari baju melayu yang berpesak dan berkekek, lengkap dengan samping. Kalau boleh, bertanjak sekali. Ha, baru melayu! Tak gitu? (ter-copy tagline azrul affandi pulak).

InsyaAllah..  

Sumber dan rujukan:

1. Tiktok : Azrul Affandi Sobry (https://www.tiktok.com/@penceritatv)

Glosari:

1. pesak : 

(pésak) kain yg dijahit pd kelangkang atau depan seluar (tempat kancing) atau di ba­wah ketiak baju; berpesak ada pesaknya, mempunyai pesak.

[Kamus Dewan Edisi Keempat]

2. kekek IV: 

(kékék) bahagian ketiak baju kurung.

[Kamus Dewan Edisi Keempat]

16.4.24

Hikayat Budak Pening | Sebuah Legasi

Tahun 2024 ini, hanya sempat update blog sebanyak 6 entri. Itupun entri kopi pasta tentang hadis. Sekadar nak aktifkan blog saja. Dan baru-baru ni, aku dapat notifikasi daro godaddy.com berkenaan pembaharuan domain berbayar aku, “budakpening.com”.

Berbelah bahagi jugak sama ada aku nak teruskan langganan nama domain aku, atau nak tamatkan sahaja. Sebab blog pun dah macam terbiar. Nak update entri dan artikel Baharu, tak ada idea pula nak menulis.

Tak kan nak teruskan langganan domain tapi blog tak ber-update. Macam rugi dan membazir pula, bayar untuk domain tapi tak berbloging pun.

Tapi sayang sebenarnya. Nama domain budakpening.com ni cantik, berbanding nama url asal blog aku, pening-pala.blogspot.com . dah selesa dengan nama Hikayat Budak Pening dengan url budakpening.com melalui personal branding.

Lagipun, tak ada la mahal sangat. Alhamdulillah, masih dikira harga mampu bagi aku untuk teruskan langganan. Akhirnya, aku perbaharui juga langganan domain budakpening.com aku tu. Pasal tak berupdate tu, nanti bila-bila aku ada semangat nak menulis, aku tulis la.

Tapi, tujuan utama kenapa aku masih nak berblog, adalah satu, iaitu :

LEGASI

Blog budakpening.com ini legasi penulisan aku. Sayang untuk aku lupuskan. Biarlah isi kandungan blog ini berkekalan. Mana tahu kalau-kalau ada artikel dan kandungan yang masih membawa kebaikan, sedikit sebanyak boleh tambah saham kebaikan aku di akhirat kelak.

 

 

LEGASI (légasi) :

IB (bahasa Indonesia Belanda) perwakilan negara di luar negara (tarafnya lebih rendah daripada kedutaan besar)

[Kamus Dewan Edisi Keempat]

 

LEGACY (Legasi):

1. pusaka, harta peninggalan;
2. warisan 
3. kesan 

[Kamus Melayu Inggeris Dewan]

5.2.24

Hadis 6: Dua Golongan Diseksa di kubur


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ بَعْضِ حِيطَانِ الْمَدِينَةِ فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا فَقَالَ يُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ وَإِنَّهُ لَكَبِيرٌ كَانَ أَحَدُهُمَا لَا يَسْتَتِرُ مِنْ الْبَوْلِ وَكَانَ الْآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ دَعَا بِجَرِيدَةٍ فَكَسَرَهَا بِكِسْرَتَيْنِ أَوْ ثِنْتَيْنِ فَجَعَلَ كِسْرَةً فِي قَبْرِ هَذَا وَكِسْرَةً فِي قَبْرِ هَذَا فَقَالَ لَعَلَّهُ يُخَفَّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا


Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; Nabi SAW pernah keluar dari salah satu kebun yang ada di Madinah, lalu baginda mendengar suara dua orang yang sedang di seksa di kuburnya, setelah itu baginda bersabda: "Tidaklah keduanya diseksa kerana dosa besar namun hal itu adalah perkara yang besar, salah satu darinya adalah tidak bersuci dari kencingnya dengan sempurna manakala seorang lagi diseksa kerana selalu mengadu domba." Kemudian baginda meminta sepotong pelepah kurma yang masih basah. Baginda membelahnya menjadi dua, sepotong baginda tancapkan di kubur yang satu dan sepotong di kuburan yang lain. Baginda kemudian bersabda: 'Semoga ia boleh meringankan seksa keduanya selagi daun kurma ini belum kering.'

(HR Bukhari No: 1361) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu memiliki akhlak yang sejahtera.

2.  Ada orang yang diseksa di alam kubur disebabkan akhlak buruk mereka semasa di dunia.

3.  Dua jenis penghuni kubur diseksa disebabkan tidak membasuh kencing dengan sempurna dan kesalahan mengadu domba (menimbulkan permusuhan).

4. Perbuatan namimah atau mengadu domba adalah buruk. Rasulullah SAW Ketika peristiwa Isra Mikraj telah diperlihatkan azab pengadu domba ini. 

Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَمَّا عُرِجَ بِيْ مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمِشُون بها وُجُوْهَهُمْ وصُدورَهم فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلاَءِ يَا جِبْرِيْلُ؟ قَالَ : هَؤُلاَءِ الَّذِيْنَ يَأْكُلُوْنَ لُـحُوْمَ النَّاسِ وَيَقَعُوْنَ فِي أَعْرَاضِهِم

“Ketika aku dinaikkan ke langit (dalam peristiwa isra’ dan Mi’raj), aku melalui satu kaum yang memiliki kuku panjang dibuat daripada tembaga, mereka mencakar muka dan dada mereka. Lalu aku bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Jibril?” Jibril AS menjawab: “Mereka adalah orang yang memakan daging manusia dan mencela kehormatan mereka.” 

(HR Abu Daud  No: 4878)

Jadilah kita seorang yang pembersih dan sentiasa menjauhi perbuatan mengadu domba.


05hb Februari 2024

24hb Rejab 1445H

Hadis 5 : Pemurah, Pemaaf dan Rendah Hati


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah tidak akan mengurangi harta. Allah pasti menambahkan kemuliaan kepada seorang hamba yang memiliki sifat memaafkan. Tidak ada balasan bagi seseorang yang rendah hati kepada Allah, kecuali Allah mengangkat darjatnya”

(HR Muslim No: 4689) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sedekah dalam apa jua bentuk seperti wang ringgit, barangan, makanan tidak sama sekali mengurangkan harta malah menambahkannya. 

عَنْ أَسْمَاءَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَنْفِقِي وَلَا تُحْصِي فَيُحْصِيَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَلَا تُوعِي فَيُوعِيَ اللَّهُ عَلَيْكِ

Dari Asma RA Rasulullah SAW bersabda: Bersedekahlah, jangan engkau menghitung-hitungnya, agar Allah tidak menghitung-hitung pemberian-Nya kepadamu dan janganlah engkau mengumpul-ngumpulkannya (tidak bersedekah) agar Allah tidak kikir kepadamu” 

(HR Bukhari No: 2402)  Status: Hadis Sahih

2.  Orang yang pemaaf, Allah akan menambahkan kemuliaan untuknya di sisi Allah. Ambillah kesempatan  untuk saling bermaafan sesama kita.

3.  Pemaaf dapat menghilangkan rasa permusuhan dan memperbanyak sahabat

4.  Pemaaf akan melahirkan sifat tawaduk, menghilangkan sifat sombong dan angkuh. Firman Allah:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ (١٩٩)

Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh. (Al-A’raf 7:199)

5.  Orang yang rendah hati, Allah mengangkat darjat kepada orang yang tawadukk.

Tawaduk ialah bersikap rendah hati iaitu sifat yang diperintahkan di dalam Islam. Di dalam Al-Quran Allah berfirman:

وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan rendahkanlah dirimu kepada kaum mukminin yang mengikutimu.” (Al Hijr: 88)

Marilah kita jadi pemurah, pemaaf dan rendah hati

2.2.24

Hadis 4: Jaminan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ


Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah bertanya: "Siapakah di antara kalian yang pagi ini sedang berpuasa?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menghantar jenazah?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah memberi makan orang miskin?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menjenguk orang sakit?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah semua itu ada pada seseorang kecuali dia pasti akan masuk syurga." 

(HR Muslim No: 1707) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

1.  Syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan melakukan amal yang soleh.

2.  Abu Bakar adalah contoh sahabat Rasulullah SAW yang menunjukkan amal soleh.

3.  Melaksanakan ibadat puasa adalah sebahagian daripada ibadat peribadi setiap Muslim sebagai bukti ketaatan dan keikhlasan seseorang kepada Allah.

4.  Menghantar jenazah, memberi makan kepada orang miskin dan menjenguk orang sakit merupakan kewajipan Muslim kepada masyarakat. Ia adalah sebahagian daripada penunaian tanggungjawab terhadap hak orang lain apabila kita hidup bermasyarakat.

5.  Mukmin yang melaksanakan kewajipan ibadat individu seperti solat, puasa, zakat serta kewajipan untuk cakna kepada masyarakat seperti ziarah orang sakit, menolong orang susah, pasti akan masuk syurga. 

Marilah kita menyantuni orang yang lemah seperti golongan fakir dan miskin, orang yang sakit juga anak yatim. Hidupkan budaya menziarahi atau bertanya khabar kerabat, sahabat, teman, jiran, rakan kita yang kurang sihat.


02hb Februari 2024

21hb Rejab 1445H

31.1.24

Hadis 3: Orang Yang Tidak Bersyukur


 

Orang Yang Tidak Bersyukur


عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ  لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ 


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: 

Tidak bersyukur kepada Allah seorang yang tidak bersyukur kepada manusia.” 

(HR. Abu Daud dan disahihkan di dalam kitab Silsilah Al Ahadis Ash Shahihah, 1/702).


Pengajaran:


1.  Orang yang tidak berterima kasih di atas kebaikan orang lain terhadapnya bermakna, ia tidak bersyukur kepada Allah di atas limpah nikmat yang diperolehi.


2.  Al-Khaththaby berkata; barangsiapa kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat (kebaikan) orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah Ta’ala dan tidak bersyukur kepada-Nya.


3.  Allah SWT tidak menerima syukur seorang hamba atas kebaikan Allah kepadanya, jika seorang hamba tidak bersyukur kepada kebaikan orang lain terhadapnya (Sunan Abu Daud dengan Syarah Al Khaththaby, 5/ 157-158).


عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم-  مَنْ أُعْطِىَ عَطَاءً فَوَجَدَ فَلْيَجْزِ بِهِ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُثْنِ بِهِ فَمَنْ أَثْنَى بِهِ فَقَدْ شَكَرَهُ وَمَنْ كَتَمَهُ فَقَدْ كَفَرَهُ.


Daripada Jabir bin Abdullah RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda: 

“Barangsiapa yang diberikan sebuah hadiah, lalu ia mendapati kecukupan maka hendaknya ia membalasnya, jika ia tidak mendapati maka pujilah ia, barangsiapa yang memujinya, maka sungguh ia telah bersyukur kepadanya, barangsiapa menyembunyikannya sungguh ia telah kufur.” 

(HR. Abu Daud dan disahihkan dalam kitab Silsilah Al Ahadis Ash Shahihah, no. 617).


4.  Cara membalas kebaikan dan pemberian orang lain:

a.  Membalas pemberian tersebut

b.  Memuji orang tersebut

c.  Mengucapkan Jazakallah khairan kepada orang tersebut

d.  Mendoakan orang tersebut


Ayuh berterima kasih kepada manusia dan bersyukur kepada Allah


31hb Januari  2024

19hb Rejab 1445H

30.1.24

Hadis 2: Berterima Kasih Pada Manusia Bersyukur Kepada Allah


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ لَا يَشْكُرُ اللَّهَ

Daripada Abu Hurairah ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang tidak pandai bersyukur (berterima kasih) kepada manusia, bererti ia belum bersyukur kepada Allah." 

(HR Tirmizi No: 1877) Status hadis : Hasan Sahih.

Berterima Kasih Pada Manusia Bersyukur Kepada Allah

Pengajaran:

1.  Satu daripada sifat terpuji ialah mengucapkan terima kasih di atas pemberian serta pertolongan orang lain terhadap kita.

2.  Orang yang kebiasaannya tidak berterima kasih terhadap kebaikan orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah  dan tidak bersyukur kepada-Nya.

3.  Allah tidak menerima syukurnya seorang hamba atas kebaikan Allah kepadanya jika seorang hamba tidak berterima kasih kepada kebaikan orang lain dan kufur terhadap kebaikan mereka. (Sunan Abu Daud dengan Syarah Al Khaththaby, 5/ 157-158).

Ucaplah terima kasih: jazakallahu khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan) di atas kebaikan dan pertolongan orang lain kepada kita. Moga kita menjadi orang yang bersyukur.


30hb Januari  2024

18hb Rejab 1445H