Sunday, November 18, 2012

Makam Tok Kenali

sebelum ni, aku ada post satu entry berkenaan lawatan aku ke Makam Tok Janggut. dalam entry tu, en. abdooss ada bagi cadangan kat aku supaya menziarahi makam tok kenali pula. setelah aku tengok lokasi makam tok kenali dalam google earth, rupanya sekat saja dengan USM kampus kesihatan ni. lantas, petang tu jugak aku pergi ziarah.


makam tok kenali ni terletak di tanah perkuburan islam makam tok kenali, mukim tok kenali, kubang kerian, kelantan. (coordinate :   6° 5'17.49"N 102°16'40.26"E)

peta ke Makam Tok Kenali dari Area kubang kerian



tanah perkuburan islam makam tok kenali


makam tok kenali

makam tok kenali dari luar
masa aku nk kelaur bilik tadi, member aku tanya nak ke mana. kat bawah ni perbualan kami : 

member  : bawak helmet ni, hang nak keluar pi mana? makan ka?
aku         : tak lah. aku nak pi makam Tok Kenali. 
member  : Tok hang ka?
aku         : bukan lah. Tok Kenali. hang tak kenal ka?
member  : sapa dia tu?
aku         : hang ni. bukan dulu spm kita dah belajar ka?
member  : entah. tak ingat la.

mungkin ada lagi yang sama macam member aku ni, yang tak kenal siapa itu Tok Kenali. apa yang aku tahu, Tok kenali merupakan salah seorang ulama' silam yang bertaraf wali di tanah melayu, khususnya di kelantan. dulu ada seorang junior budak sekolah aku yang mengaku dia berketurunan dari sala-silah tok kenali. bangga betul dia.

kat bawah ni antara info berkenaan Tok Kenali yang aku petik dari sebuah artikel yang bertajuk "TOK KENALI : Ulama Peringkat Wali" Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

tok kenali

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.

Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.

Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.

Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.

Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)

Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

untuk info lanjut mengenai Tok Kenali, boleh baca disini : 

14 comments:

  1. baru tau pasal tok kenali, sebelum ni dengar je tapi tak kenal..

    ReplyDelete
  2. heeee...mana aci, asyik pha je yg melancong, KY pun nak ikut gak...eeehhhmmmm..

    ReplyDelete
  3. Terima kasih Phais,
    Antara kisah kewalian Tk Kenali = kakinya ada tokak dan berulat. Setiap kali Tok Kenali pergi mandi di sungai, dia akan letakkan ulat-ulat pada kakinya ke atas daun keladi.. selepas mandi, dia akan ambil ulat-ulat itu dan letakkan semula pada tokak di kakinya. Sebab? Katanya "Kaki ini rezeki untuk makhluk Allah juga." ~Itu tahap Kesufian yang tinggi, orang biasa macam kita tak larat nak buat gitu.. Alfatihah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. subhanallah... alfatihah buat allahyarham..

      Delete
  4. bob lokman pelawak/pelakon tu cucu tok kenali..

    ReplyDelete
  5. aku pon xbape nk ingt la tok kenali ni,,

    ReplyDelete
    Replies
    1. dulu pon, aku bukan tahu sangat cerita2 nih... cma yg aku tau, pasal ulama' ngan wali tu je la... hehehe

      Delete
  6. sekurang-kurangnya dapat share kat sini bagi yang tak mengenali Tok Kenali tu.. ---> ai ler tu.. ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah.. ada gak ilmu baru.. heheh

      Delete
  7. menarik juga cerita tok kenali ni. saya tahu nama je. pasal dia saya tak berapa tahu. tq kongsi information yang bagus ni :)

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...